IPOH: Polis akan memanggil pemilik syarikat mempunyai lesen membekalkan bahan letupan yang terletak bersebelahan premis perniagaan pengaturcara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, di sini esok bagi membantu siasatan.

Ia berikutan siasatan mendapati punca letupan dan kebakaran rumah kedai dua tingkat itu disebabkan daripada bahan letupan yang dipercayai bunga api, berdasarkan keterangan saksi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman, berkata siasatan mendapati pemilik premis yang menjalankan perniagaan pengatur cara majlis, dan syarikat membekalkan bahan letupan berhampiran, adalah pemilik berbeza.

Menurutnya, polis sudah mengenalpasti pemilik syarikat membekal bahan letupan terbabit dan akan menyiasat hubungannya dengan pemilik premis yang maut.

Katanya, punca yang menyebabkan bunga api itu meletup masih disiasat dan jumlah sebenar bahan letupan yang terdapat di premis berkenaan tidak diketahui tetapi dipercayai dalam jumlah yang banyak.

“Kita pasti ada kecuaian dan salah laku jenayah bagaimana bahan letupan itu boleh berada dalam premis yang terbakar sedangkan premis berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan perniagaan bahan letupan.

“Polis bagaimanapun sudah merakam keterangan saksi kejadian iaitu pemandu syarikat berkenaan berusia 50an.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), saksi itu dilihat berada di lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan diri namun cedera di bahagian tangan,” katanya pada sidang media Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, di sini.

Yahya berkata, bedah siasat keenam-enam mangsa tamat kira-kira jam 3.30 petang tadi iaitu selepas lebih enam jam proses berkenaan dilakukan.

“Punca kematian kesemua mangsa disebabkan kesan kebakaran tubuh antara 80 hingga 90 peratus dan terdapat kesan belerang bahan letupan letusan bunga api.

“Bagaimanapun laporan penuh bedah siasat akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, identiti kesemua mangsa sudah diperoleh berdasarkan maklumat daripada keluarga yang yakin mangsa terbabit dalam kejadian itu.

Yahya berkata, empat daripadanya adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menglembu yang baru sehari bekerja sambilan di premis berkenaan manakala seorang lagi mangsa sudah agak lama bekerja dan seorang lagi adalah majikan yang juga pemilik premis.

“Mayat mangsa belum pasti boleh dituntut lagi kerana perlu proses pengecaman dulu dan ada beberapa dokumen yang perlu diselesaikan pihak hospital, namun dijangka tiada masalah untuk tuntut hari ini,” katanya.

Dalam kejadian 1.54 tengah hari semalam, enam mangsa maut susulan letupan dan kebakaran di sebuah premis rumah kedai.

Lima sahabat yang bekerja sambilan di premis berkenaan adalah Ahmad Faizal Aminuddin, 16; Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohd Kamari, 16 dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19.

Majikan mangsa dikenali sebagai P Thiagarajan, 40, turut terkorban yang mana keenam-enam mangsa dilaporkan rentung dan identiti kesemuanya masih belum dapat dikenal pasti – berita harian