IPOH – Pusat Akuatik Tuanku Zara dijangka akan mula dibuka kepada orang ramai sekitar Oktober ini dan bukannya pada Januari 2019 demi memberikan laluan kepada Para Sukan Malaysia (Sukma) Perak, 2018.

Exco Kerajaan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, orang ramai diharap tidak terpengaruh dengan berita yang tular di laman sosial Facebook itu kerana pusat akuatik berkenaan akan tetap dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun menurutnya, yang menyebabkan pembukaannya tertangguh seketika adalah berikutan penilaian risiko untuk orang awam, penentuan harga baharu dan cara pengutipan tiket dibuat.

“Inilah perkara yang menyebabkan pusat akuatik ini lewat dibuka. Saya boleh umumkan bahawa Para Sukma akan tetap dijalankan iaitu pada 21 hingga 28 November depan.

“Kita juga boleh pastikan yang ia akan dibuka sebelum penganjuran temasya sukan itu, sekiranya segala proses untuk bulan ini berjalan lancar,” katanya pada sidang media hari ini.

“Malah, dimaklumkan juga, bahawa Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli bagi merasmikan pusat akuatik berkenaan dan ianya dijadualkan berlangsung selepas Para Sukma Perak 2018,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Howad berkata, segala keputusan mengenai harga tiket termasuk masalah berhubung beberapa isu teknikal akan diketahui dalam satu mesyuarat khas Khamis ini.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan membincangkan mengenai pelbagai perkara termasuk isu penetapan harga kemasukan yang baharu.

“Sebagai makluman, pusat ini telah berjaya disiapkan pada Februari lalu dengan kos berjumlah RM45 juta.

“Perkara ini perlu diambil kira kerana pusat akuatik ini telah dinaik taraf dan mempunyai enam kolam renang bertaraf antarabangsa,” katanya – sinar