Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: Tidak serik dengan amaran keras dari pihak berkuasa, masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan melaksanakan operasi mesin judi di sekitar Sungai Siput baru-baru ini.

Dalam serbuan sekitar 6 petang Selasa, polis merampas 60 buah mesin judi selepas melakukan serbuan di sebuah premis hasil maklumat dari orang awam.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut mempunyai lesen yang masih aktif sehingga 31 Disember 2017, namun kesahihannya agak mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, pihaknya turut menahan dua wanita, seorang lelaki dan lima lelaki warga Bangladesh dipercayai pekerja di premis dalam serbuan berkenaan.

“Serbuan Ops Dadu dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Sungai Siput dan merampas 60 buah mesin simulator, lima buah kotak simulator, lima cip, empat kunci.

“Turut dirampas adalah alat kawalan jauh dan enam cip gelang. Selain itu, anggota turut merampas wang tunai berjumlah RM 2,089,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Rabu.

Abdul Fatah berkata, premis itu mempunyai lesen hiburan awam yang berkuat kuasa pada 9 Januari lepas untuk jumlah mesin permainan 100 unit.

“Begitupun, anggota mendapati keadaan lesen itu sedikit mencurigakan kerana ada kesan garis terpotong atas tulisan di lesen berkenaan.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan dan ia disiasat mengikut seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Akta Judi Rumah Terbuka 1953 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM 10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.