TAPAH: Masalah kesesakan lalu lintas serta membangunkan prospek eko-pelancongan membabitkan masyarakat Orang Asli, merupakan antara fokus yang akan diberi perhatian di Tapah, kata Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu.

 

 

Ahmad Faizal yang juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata beliau akan sentiasa bersedia mendengar sebarang pendapat dan permasalahan menerusi Pusat Khidmat ADUN yang ada di kawasan tersebut.

 

 

“Bagi DUN Chenderiang saya telah buka sebelum Pilihan Raya Umum sebenarnya, satu pejabat operasi yang terletak di Bukit Baldwin pekan Tapah, saya telah letakkan beberapa orang pegawai di sana untuk membantu operasi menyelesaikan masalah orang ramai.

 

 

“Tempat operasi itu akan terus dijadikan pejabat Pusat Khidmat ADUN Chenderiang yang akan beroperasi jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, ia akan bersambung sampai malam jika ada keperluan.

 

 

“Saya telah melantik dua orang pegawai saya di sini, memandangkan kesibukan saya di Ipoh, maka orang ramai dapat berjumpa dengan mereka untuk mengajukan permasalahan,” kata Ahmad Faizal.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Chenderiang di sini pada Ahad.

 

 

Dalam pada itu, beliau menegaskan tiada sebarang sekatan untuk mana-mana pihak datang dan menyampaikan maklumat serta masalah di pusat tersebut.

 

 

“Bagaimanapun kalau ada perkara yang memerlukan perhatian saya sendiri, mereka (pegawai pusat khidmat) akan terus bawakan permasalahan itu kepada saya,” katanya.

 

 

“Satu masalah yang agak rumit untuk diselesaikan ialah kesesakan lalu lintas terutama di bandar Tapah, namun saya sedang cari jalan untuk selesaikan masalah tersebut,” katanya.