Oleh: Nazialita Geynna Maharan

LUMUT: Rakyat Perak bakal menikmati peluang berbelanja pada kadar yang lebih rendah di pasar tani apabila cadangan subsidi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksanakan melalui kerjasama antara pusat itu dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri diputuskan kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Haron yang mengemukakan cadangan itu berkata, kerjasama murni itu akan dapat membantu rakyat secara langsung dalam membantu mereka menangani peningkatan kos sara hidup pada hari ini.

Beliau menjelaskan, kolaborasi Pusat Khidmat DUN dan FAMA itu juga akan dapat memastikan subsidi disalurkan terus kepada rakyat agar mereka dapat menikmati harga berpatutan untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

“Sekiranya kerjasama ini dijalinkan, maka kita akan dapat meningkatkan kuantiti ikan-ikan segar contohnya, pada harga yang berpatutan bukanlah pada harga melambung.

“Jadi, FAMA diharapkan dapat memperluaskan serta mempertingkatkan usaha untuk menambah bekalan ikan ini contohnya dan berurusan dengan Pusat Khidmat DUN (berhubung subsidi), kita sama-sama menyumbang dan menstabilkan harga untuk rakyat, apa salahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Istimewa @ Pasar Tani NBOS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut sempena Permukiman Menteri Besar Daerah Manjung di sini, semalam.

Zolkafly berkata, pada kebiasaannya, FAMA akan membekalkan kira-kira 80 kilogram ikan pelbagai jenis seperti sardin dan cencaru namun ianya diharap dapat dipertingkatkan kepada 200 kilogram untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Kita cuba, kalau boleh kita beri sumbangan dan impak terbaik kepada rakyat, mungkin dalam sebulan sekali mereka dapat menikmati harga jualan ikan dengan harga subsidi, dalam erti kata lain, pada harga istimewa.

“Subsidi ini tidak ada masalah pada saya, kerana ini satu kebajikan untuk meringankan beban di satu-satu kawasan secara langsung, apatah lagi inilah peluang untuk jabatan dan wakil rakyat bertemu secara terus dengan rakyat,” ujarnya lagi.