KAMPUNG GAJAH: Pusat Khidmat Parlimen Pasir Salah menubuhkan Badan Amal bagi menyelaraskan kerja-kerja kebajikan dengan lebih tersusun, sistematik dan menyeluruh.

 Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, sebelum ini, banyak kerja-kerja kebajikan dilaksanakan secara adhoc, tanpa perancangan yang strategik.

Menurut beliau, sebagai langkah pertama, Badan Amal yang ditubuhkan itu akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai golongan yang perlu dibantu, umpamanya, orang miskin, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim.

“Kita memang prihatin dengan kumpulan yang perlu dibantu ini tetapi kita mahu mengubah pelaksanaan kerja-kerja amal supaya lebih berkesan dan memberi impak, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” katanya kepada pemberita selepasmerasmikan penubuhan Badan Amal Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.

Tajudin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kajian mengenai kumpulan sasar itu sangat penting bagi membolehkan semua kerja kebajikan dirancang dengan baik.

“Setelah ada maklumat, barulah kita boleh merancang apa yang hendak dibuat dan daripada sumber-sumber boleh diperolehi,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap pihak Badan Amal itu dapat menubuhkan pasukan sukarelawan mereka bagi melancarkan lagi aktiviti kebajikan, tanpa mengharapkan kepada kerajaan semata-mata.

Di majlis itu, Tajudin turut menyerahkan sumbangan kepada warga miskin seperti ibu tunggal, warga emas dan anak yatim di samping menyampaikan hadiah kepada pertandingan yang diadakan.