SLIM RIVER: Kekecohan berlaku di tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Slim River di sini, pagi tadi, apabila beberapa penyokong pembangkang mempertikai jarak pondok borang Barisan Nasional (BN) didakwa melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, beberapa penyokong pembangkang membuat bantahan kepada petugas SPR di pusat mengundi itu dan berlaku ‘perang mulut’ antara kedua-dua penyokong menyebabkan suasana menjadi tegang.

Berikutan itu, Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tanjung Malim, Nor Sham Rahman terpaksa menyelesaikan masalah pembinaan pondok BN yang dikatakan berhampiran pusat mengundi itu.

Bagaimanapun, Nor Sham bersama petugas SPR kemudian mengesahkan pondok berkenaan dibina mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dan suasana menjadi tenang semula.

Timbalan Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Pekan Slim River, Shahidon Abd Samad, berkata tindakan pihak pembangkang yang cuba mencetuskan huru-hara di PDM itu tidak berjaya.

“Pihak pembangkang hanya berdiri di tepi jalan untuk meraih dan merayu undi di saat-saat akhir jika hendak dibandingkan dengan BN yang berada di tempat agak selesa.

“Ini mungkin menyebabkan mereka cemburu lalu bertindak tanpa usul periksa,” katanya ketika ditemui – berita harian