IPOH: Pusat pemindahan mangsa banjir sementara di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kampung Padang Serai di daerah Manjung telah ditutup.

 

Kesemua 89 mangsa banjir dari Kampung Padang Serai di Beruas yang ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak lebih sebulan lalu telah dibenarkan pulang.

 

Pegawai Daerah Manjung, Mohd Faris Mohd Hanif berkata, pusat pemindahan itu telah ditutup secara rasmi pada jam 12 tengah hari tadi.

 

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan keselesaan mangsa semasa berada di pusat pemindahan.

 

“Kerjasama dan keprihatinan tuan puan disanjung tinggi dan semoga kerjasama ini dapat terus dikekalkan pada masa hadapan demi kemaslahatan rakyat di Daerah Manjung,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Banjir di kawasan itu sebelum ini dikenali sebagai ‘banjir termenung’ disebabkan air yang bertakung tidak dapat mengalir keluar kerana kawasannya rendah daripada paras laut.

 

Pusat pemindahan itu adalah yang terawal dibuka, lebih sebulan lalu, dan paling akhir ditutup.