IPOH: Pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Piandang, Seputeh, dekat sini ditutup sepenuhnya tengahari tadi (Jumaat).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah (JPBBD) Kinta, Tarmidzi Abdul Manap berkata, pusat pemindahan itu ditutup pada 12.30 tengahari apabila semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pusat itu dibuka jam 7 malam Khamis bagi menempatkan 33 mangsa banjir kilat di Kampung Piandang ldisebabkan parit di kawasan berkenaan tidak dapat menampung air hujan lebat.

Banjir bagaimanapun pulih semula pagi ini dan kerja-kerja pembersihan telah dilakukan oleh oleh penduduk dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain.

Tarmidzi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan keselesaan mangsa semasa berada di pusat pemindahan.

“Kerjasama dan keprihatinan tuan/puan disanjung tinggi dan semoga kerjasama ini dapat terus dikekalkan pada masa hadapan demi kemaslahatan rakyat di Daerah Kinta,” katanya dalam satu kenyataan petang Jumaat.