IPOH: Pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan yang dibuka sejak 9 Oktober lalu, ditutup mulai 12.30 tengahari Isnin.

Penutupan itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, Shamsul Ridzuan Idris.

Sebelum ini, pusat pemindahan di Dewan MPTI di Taman Desa Aman, Batu 6, Teluk Intan telah ditutup pada Sabtu lalu, selepas tiga hari dibuka.

Penutupan kedua-dua pusat pemindahan di Daerah Hilir Perak itu menyaksikan hanya sebuah pusat pemindahan banjir masih dibuka di Perak iaitu di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai di daerah Kerian.

Pusat pemindahan itu yang dibuka semalam, setakat ini menempatkan 29 mangsa banjir dari Kampung Parit Mat Keling, Kampung Parit Ali Kalang dan Kampung Parit Air Hitam 3

Banjir dikatakan berpunca daripada hujan lebat dan air tidak dapat mengalir ke sungai disebabkan paras Sungai Kurau yang tinggi. Paras air di lokasi kejadian adalah antara 0.5 hingga satu meter dan dilaporkan masih kekal setakat ini.