TELUK INTAN: Pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Ara, Labu Kubung di sini ditutup sepenuhnya selepas kesemua 10 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sebelum ini, 10 keluarga tersebut dipindahkan ke pusat berkenaan selepas rumah mereka di Kampung Pengkalan Ara dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak, Shahrunaim bin Radzali berkata, pusat itu ditutup pada 3.30 petang Ahad apabila semua keluarga tersebut dibenarkan pulang selepas banjir pulih sepenuhnya.

 “Semua penduduk terlibat telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dengan bantuan pihak APM dan RELA,” katanya dalam satu kenyataan.

 Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang telah bekerjasama membantu.