IPOH: Semua pusat penamaan calon dan pusat pengiraan undi di negeri ini akan menjalani pemeriksaan keselamatan kebakaran tidak lama lagi sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Datuk Yahaya Madis, berkata, pemeriksaan itu untuk memastikan segala aspek keselamatan khususnya kebakaran di kawasan-kawasan berkenaan mengikut piawaian ditetapkan.

“Sebelum PRU kita akan buat lawatan ke pusat penamaan calon dan pusat pengiraan undi untuk kita pastikan tempat-tempat itu bebas daripada bahaya kebakaran dan mempunyai laluan secukupnya.

“Ketika PRU, waktu kempen itu kita juga akan buat rondaan untuk pastikan tiada unsur bleh menyebabkan kebakaran, kita akan tengok tempat-tempat “panas”, kerana kita perlu pastikan tiada bahan api yang boleh mencetuskan kebakaran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2018 peringkat JBPM Perak di sini, pada Selasa.

Tambah beliau, seramai 1,100 pegawai dan anggotanya juga akan bertugas sepanjang PRU-14 nanti dan cuti mereka akan dibekukan.

“Seluruh anggota di Perak ialah 1,100, kita akan kerah semuanya pada waktu itu dan cuti juga dibekukan, mereka tidak boleh keluar kawasan kecuali perkara-perkara yang tidak dielakkan.

“Kita telah bersedia, anggota juga dibenarkan untuk melakukan undi pos jadi ketika PRU nanti kita dapat menumpukan perhatian melakukan tugas-tugas keselamatan,” ujar beliau.