IPOH: Sebuah pusat santuari gajah atau Perak Elephant Santuary (PES) akan diwujudkan di negeri ini tidak lama lagi bagi menangani masalah gajah liar.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pembinaan PES yang berkeluasan sekitar 40 hektar itu ketika ini dicadangkan di sempadan Perak – Kelantan yang terletak di KM20 Jalan Raya Gerik – Jeli.

“Cadangan ini telah mendapat respon positif daripada kerajaan Persekutuan, ia diusulkan bagi mengurangkan kes gangguan gajah liar di kawasan luar bandar, ia bukan sahaja masalah negeri tetapi negara.

“Saya telah melawat Pos Kemar (perkampungan Orang Asli) di Taman Negeri Royal Belum, Gerik dan mendapati masalah gajah ini amat mendesak kerana orang kampung berada dalam ketakutan setiap hari dan kebun-kebun mereka juga dirosakkan,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Menteria Tenaga, Air dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam sidang media yang diadakan bersama itu, Dr Xavier Jayakumar berkata, PES akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan.

Dijangkakan projek berkenan akan menelan belanja RM28.8 juta yang merangkumi kompleks dilengkapi klinik, stor makanan, kemudahan pejabat dan pelbagai lagi.

Sementara itu, dalam usaha kerajaan memelihara populasi harimau di Royal Belum, Dr Xavier berkata, pihaknya akan menambah seramai 50 renjer hutan bagi memastikan tiada aktiviti pemburu haram berlaku di kawasan berkenaan yang boleh mengancam spesis berkenaan.

“Ada permintaan untuk meletakkan lebih renjer, kita sedang cari. Kita juga mungkin menggunakan khidmat anggota polis dan tentera untuk membantu membuat pemantauan,” katanya.

Ketika ini terdapat seramai 12 renjer yang mengawal Royal Belum dan jumlah harimau di taman negeri itu adalah kira-kira 40 ekor – berita harian