IPOH: Pertubuhan Wanita Prihatin Perak akan membina pusat sehenti untuk membela nasib 216 gelandangan di Ipoh.

Pengerusinya, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, pusat itu yang dinamakan Teduhan Kelana, akan berfungsi sebagai pengantara kepada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, premis yang terletak di Jalan Dato’ Onn Jaafar itu akan menyediakan keperluan lengkap bagi membolehkan golongan berkenaan berasa seperti mereka berada di rumah sendiri.

“Namun pusat ini bukan menyediakan tempat tinggal, sebaliknya kita memberi ruang untuk mereka mandi dan sembahyang. Kita turut menyediakan kemudahan seperti kaunselor psikiatri dan ustaz untuk menjaga kerohanian, selain keperluan kesihatan.

“Teduhan Kelana dibina dua bulan lalu, namun kita pindah ke lokasi baharu di jalan berkenaan kerana ia berhampiran dengan mereka di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Medan Kidd dan People’s Park,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Bicara: Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Islam Antara Teori dan Realiti Di Dalam Menangani Isu-Isu Global di Hotel Kinta Riverfront baru-baru ini yang dirasmikan Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Normah berkata, pusat itu nanti akan menyaringkan semua gelandangan sebelum dirujuk kepada badan berkaitan.

“Pusat ini hanya menumpukan mereka yang berdepan dengan masalah tempat tinggal, pekerjaan dan sebagainya. Ia boleh menjadi pusat kepada gelandangan yang mahu mengubah nasib dan hidup secara konsisten.

“Dalam tempoh tiga bulan, kita akan meneliti keperluan penghuni sebagai usaha mengubah hidup mereka untuk menjadi normal seperti masyarakat yang lain,” katanya.