SUNGAI PETANI: Hanya 11 anak yatim berada di sebuah pusat tahfiz amal di Pekan Baru di sini, yang beroperasi tanpa kebenaran sejak 2005.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-Undang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ahmad Rashid, berkata dakwaan bahawa ada 211 anak yatim di pusat berkenaan adalah tidak benar.

Katanya, semakan terhadap kanak-kanak lain mendapati mereka bukan anak yatim dan masih mempunyai keluarga dan ibu bapa.

“Berdasarkan siasatan sebahagian besar kanak-kanak ini mempunyai ibu bapa dan tiada keperluan untuk mereka (pengurusan) untuk mencari premis untuk di sewa untuk kanak-kanak ini.

“Tempat terbaik untuk kanak-kanak ini bersama keluarga masing-masing. Apa kurikulum mereka di sini pun kita tidak pasti kerana tiada pengesahan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JAIK).

Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah melekat pita pelekat larangan menceroboh pada bangunan premis Pusat Rawatan Amal Kebajikan Anak Yatim Dan Fakir di Pekan Baru kerana didapati menjalankan operasi secara haram. – Foto Shahrizal Md Noor

Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah melekat pita pelekat larangan menceroboh pada bangunan premis Pusat Rawatan Amal Kebajikan Anak Yatim Dan Fakir di Pekan Baru kerana didapati menjalankan operasi secara haram. – Foto Shahrizal Md Noor

“Bagi anak yatim, kita akan selamatkan dan tempatkan di tempat perlindungan bawah JKM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad bersama 60 pegawai JKM, polis dan JAIK melaksanakan tindakan menutup pusat tahfiz berkenaan bermula pada jam 10.30 pagi tadi.

Tindakan itu dilakukan mengikut Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 (pindaan 2007) dan pengusahanya diberi tempoh 21 hari untuk mengemukakan dokumen pendaftaran.

“Mengenai dakwaan mereka sudah mendapat kelulusan daripada beberapa pihak juga tidak benar kerana saya difahamkan mereka baru memohon,” katanya.

Semalam kerajaan negeri mengarahkan sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran, selain dipercayai mempergunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dengan menggunakan nama agama bagi menarik simpati orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, dilaporkan berkata notis penutupan dikeluarkan pada 11 Mac lalu oleh JAIK – berita harian