TAIPING: Lawatan sehari pewaris takhta Britain, Putera Charles ke Perak, hari ini, dimulakan dengan menziarahi Tanah Perkuburan Perang Taiping atau dikenali sebagai Taiping War Cemetery.

Lawatan itu bertujuan untuk mengimbas kembali perjuangan dan pengorbanan tentera British dan Komanwel sewaktu Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.

Putera Charles yang tiba di tanah perkuburan itu pada kira-kira jam 1.20 petang diiringi oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri S.Devamany dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sebaik tiba di lokasi tersebut, baginda menziarahi kubur yang terdiri daripada perkuburan Islam, India, Buddha serta Kristian.

puteracharleslawatkubur 2

Putera Charles menyempurnakan simbolik lawatan dengan meletakkan kalungan bunga di monumen tanah perkuburan itu, lalu bertafakur sejenak sebagai tanda penghormatan.

Selesai upacara itu, baginda berkenan untuk menemui individu yang bertanggungjawab menjaga dan menyelenggara tanah perkuburan itu, selain beramah mesra dengan veteran perang dari pelbagai negara.

Pada sekitar jam 2.30 petang, Putera Charles dan rombongan bergerak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sebelum memulakan lawatan ke Taman Negeri Royal Belum, Gerik.

Tanah Perkuburan Perang Taiping merupakan perkuburan tentera yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua dan zaman darurat menentang komunis.

Dianggarkan lebih 850 anggota tentera yang terkorban disemadikan di situ termasuk lebih 500 korban lain yang tidak dapat dikenal pasti sehingga ke hari ini.