BAGAN SERAI – Walaupun segala gerak kerja yang dipikul adalah atas dasar sukarela, namun kesungguhan yang diperlihatkan oleh ahli Pergerakan Puteri Islam Malaysia Perhubungan Negeri Perak (PPIM) sangat membanggakan.

Pengerusi PPIM Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, kejayaan yang dirangkul sehingga berjaya menjulang nama Perak dalam memenangi Penilaian Tahap Peringkat Kebangsaan baru-baru ini menjadi titik penentu kepada lakaran sejarah di masa hadapan.

 

Menurut beliau, semua kerja sukarela itu adakala perlu sebagai memenuhi tuntutan tugas dalam PPIM di luar masa bekerja.

“Saya bangga dengan anda semua kerana berjaya mengendalikannya dengan baik sekalipun dunia pendidikan kian mencabar.

“Kemenangan yang dicapai di peringkat kebangsaan baru-baru ini dalam penilaian PPIM seharusnya dijadikan motivasi buat semua,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Untaian Kasih Sanjungan Budi PPIM Perak di Dewan Ibnu Khaldun, SMK Abu Bakar Al- Baqir, Bagan Serai pada Jumaat.

Dalam majlis tersebut kesemua wakil PPIM setiap daerah di Perak diraikan bersempena kejayaan yang tersebut selain pencapaian cemerlang PPIM daerah Kerian memperoleh penilaian tahap tinggi.

“Majlis ini juga diadakan bagi memenuhi janji yang kita buat sebelum ini di mana pengiktirafan akan diberikan buat PPIM mana-mana daerah di Perak yang berjaya capai kejayaan menerusi penilaian tertentu,” kata Saripah.

Selain itu, turut disampaikan Anugerah Emas dan Anugerah Permata kepada individu yang terlibat dalam menggerakkan kejayaan PPIM Perak termasuk Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan AJK bagi daerah masing-masing.