Jasin: “Dua minggu terakhir, dia minta nak hantar adik sepupunya ke sekolah dan pagi tadi (semalam), dia berkeras mahu menghantar anak saya Muhammad Syahmi Mohammad Syarilzan berusia tujuh tahun ke Sekolah Kebangsaan Chabau.

“Malah, dia sudah memaklumkan rakan di tempat kerja bahawa dia akan masuk kerja lewat sikit.”

Demikian menurut Suhaila Kasim, 41, ibu saudara mangsa kemalangan maut Hairul Jefry Zulkhifle, 29, yang kepalanya bercerai dari badan apabila motosikal ditunggang merempuh bahagian tengah badan lori muatan kelapa sawit di Jalan Rim-Chabau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari SK Chabau selepas menghantar sepupunya ke sekolah dan mahu terus ke tempat kerja di sebuah resort di Ayer Keroh.

Suhaila berkata, arwah tinggal bersamanya dan menjaga sepupunya Muhammad Syahmi sejak berusia lapan bulan lagi dan mereka berdua amat rapat.

“Dia dan anak saya adalah sepupu, tapi bagaikan anak dan ayah angkat, terlalu rapat. Malah, ketika saya mengambil anak di sekolah selepas mendapat tahu berita kemalangan ini, anak saya meraung apabila diberitahu kejadian itu,” kata Suhaila ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jasin, di sini, pagi semalam.

Tambah Suhaila, arwah seorang yang baik dan disenangi walaupun pendiam, malah tinggal dengan neneknya sejak kecil selain pandai berdikari.

“Arwah sebelum ini tidak pernah mempelawa saya ke pasar malam, tapi semalam dia ajak saya dan kami pergi selepas solat Asar walaupun ketika itu hujan.

“Dia minta beli ikan dan cadangkan untuk dimasak lemak kurau campur nanas kerana mahu makan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sakri Yusoff @ Zahari berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah dan kepala terpisah dari badan.

“Mangsa menunggang motosikal dari Chabau ke Jalan Rim dipercayai melanggar bahagian tengah badan lori muatan kelapa sawit yang ketika itu keluar dari simpang di sebuah ladang sawit.

“Akibat kemalangan itu, mangsa terseret sejauh kira-kira 12 meter dan kepala mangsa dipercayai bercerai dari badan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-myMetro