IPOH – QL Foods Sdn Bhd menafikan produk ikan jenama Mushroom keluarannya tidak memiliki sijil halal sah.

Menerusi kenyataan media kepada Sinar Harian, syarikat tersebut menjelaskan produk ikan jenama Mushroom keluarannya adalah sah halal dan mempunyai Sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, penafian tersebut dibuat selepas gambar produk jenama Mushroom telah disalahguna dalam media sosial dan WhatsApp mengaitkan produk syarikat itu dengan penarikan balik sijil halal syarikat lain yang terletak di kawasan yang berhampiran.

“Penularan ini menimbulkan kekeliruan mengenai status halal produk Mushroom oleh QL Foods. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengesahkan status halal kami melalui Facebook rasmi: https://www.facebook.com/HalalPerak/

“QL Foods menyarankan orang ramai untuk menyemak kesahihan Sijil Halal QL Foods di direktori Halal www.halal.gov.my,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, QL Foods mempunyai Sistem Pengurusan Halal Dalaman diselia oleh eksekutif halal yang khusus dan komited untuk memastikan semua produk keluaran QL Foods mematuhi prosedur halal seperti ditetapkan JAKIM.

Sebelum ini, Tular di WhatsApp satu surat mengenai penarikan balik Sijil Pengesahan Halal ke atas sebuah syarikat memproses ikan di Hutan Melintang.

Menerusi WhatsApp itu, disertakan bersama gambar produk jenama Mushroom yang tiada kaitan dengan surat tersebut – sinar harian