PORT DICKSON: Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R Thinalan yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, mahu meneruskan legasi mendiang bapanya berkhidmat kepada masyarakat di kawasan itu.

Peguam berusia 38 tahun itu berkata, beliau sudah biasa mengikut mendiang bapa, Datuk T Rajagopalu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Port Dickson (kini Sri Tanjung) pada 2004, menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Rajagopalu yang juga peguam adalah bekas Setiausaha Agung MIC serta Pengerusi MIC Negeri Sembilan, sebelum meninggal dunia akibat sakit jantung pada 2014.

“Kadang-kadang, tanggungjawab dipikul bukan mudah serta agak mencabar, namun mendiang bapa sentiasa bersemangat membantu komuniti dan sering mengingatkan saya bahawa kita perlu memberi khidmat kepada masyarakat.

“Saya percaya, semangat mendiang bapa itu ada dalam diri saya, sekali gus menjadi motivasi,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Thinalan diumumkan sebagai calon di DUN Sri Tanjung oleh Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, baru-baru ini, sekali gus dilihat bakal mengikut jejak langkah mendiang bapanya.

“Saya mahu menyambung legasi bapa. Lebih penting, saya mahu membawa banyak perubahan di kawasan DUN ini yang boleh memberi manfaat besar kepada masyarakat.

“Pada PRU 2008 dan 2013, kerusi DUN ini dimenangi pembangkang. Saya berharap dapat merampas kembali kerusi ini untuk BN,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Sebagai calon muka baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Thinalan berkata, manifesto dibawanya termasuk menaik taraf kemudahan di kawasan Sri Tanjung, selain memberi tumpuan terhadap keperluan orang muda.

“Walaupun terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong, sebenarnya tidak banyak tarikan istimewa dan pembangunan di kawasan ini yang dapat dinikmati penduduk tempatan serta pengunjung luar.

“Pembangkang gagal menyedari keperluan penduduk tempatan. Sudah tiba masa BN mengambil alih semula dan saya yakin pengundi bijak membuat keputusan kali ini,” katanya.

Beliau antara lain turut merancang untuk menghidupkan semula Pesta Port Dickson yang cukup popular lebih 10 tahun lalu – berita harian

BERITA BERKENAAN : Parti Politik Bertanding Diminta Kawal Ahli Semasa Penamaan Calon