Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah menghapuskan 78 ekor anjing liar dalam usaha mengawal sebarang risiko penyakit anjing gila atau rabies, di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama sejak operasi tersebut bermula pada Isnin lepas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, sebanyak 352 ekor haiwan peliharaan di sekitar Kuala Sepetang telah menerima vaksin bagi mengekang dan mengawal jangkitan rabies atau penyakit anjing gila sehingga Sabtu.

Menurutnya, operasi pemvaksinan itu melibatkan sebanyak 116 ekor anjing dan 236 ekor kucing secara keseluruhannya dan dilaksanakan dari jarak satu kilometer radius dari lokasi kes jangkitan rabies.

“Kami juga telah melaksanakan bancian dan survelan aktif dalam lingkungan 10km radius dari lokasi kes jangkitan melibatkan keseluruhan populasi haiwan sebanyak 1073 ekor (bilangan anjing sebanyak 280 ekor dan kucing sebanyak 793 ekor).

“Kesemua haiwan yang menerima vaksin ini dimiliki oleh 94 pemilik haiwan dan kami juga telah menjalankan operasi kempen kesedaran penyakit Rabies dan kawalannya dari rumah ke rumah secara keseluruhan kepada 1843 pemilik haiwan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Jelas beliau, pada Sabtu sebanyak 12 sampel kepala anjing telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Ipoh (VRI)  untuk pengesanan penyakit Rabies.

Sebelum ini, pihak Jabatan Kesihatan Perak mengesahkan lima sampel kepala anjing yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh pada Selasa disahkan bebas daripada penyakit anjing gila atau wabak rabies.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Rabies Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, keputusan ujian makmal yang diperoleh itu membabitkan 19 anjing terbiar yang dilupuskan, pada Selasa.