SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan akan memanggil semua pihak berkaitan termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, untuk membantu siasatan berhubung tuduhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis bertanggungjawab di sebalik kegagalan calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Dr Streram Sinnasamy, mengemukakan borang penamaannya pada 28 April lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

“Kami akan menghubungi Rafizi dan pihak lain yang terbabit dalam insiden terbabit secepat mungkin,” katanya.

Noor Azam berkata, polis juga akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun Facebook (FB) yang membuat ugutan bunuh terhadap pembantu petugas SPR.

Katanya, tindakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di pusat penamaan di Dewan Sri Rembau, Rembau dekat sini.

“Kami akan mengesan pemiliknya dengan bantuan SKMM. Kami akan memaklumkan perkembangan terkini dalam masa terdekat,” katanya.

Mangsa yang berusia 36 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Rembau pada 2 Mei lalu selepas menerima paparan skrin komen di FB yang mengandungi foto dan ancaman bunuh serta mencederakan selain perkataan jelik.

Menjelang hari mengundi yang berbaki tiga hari lagi, Noor Azam menggesa semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan sensitif terhadap pihak lain bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

“Jadilah seorang yang profesional dan bertindak matang. Jika anda melihat sesuatu yang tidak betul, laporkan kepada polis. Jangan ambil tindakan sendiri, “katanya.

Terdahulu, Noor Azam menyertai 1,168 anggota polis di Seremban untuk menunaikan undi awal di Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, pagi ini – berita harian