KUALA LUMPUR : Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi Ramli.

Naib Presiden PKR itu pada 15 November lalu dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) berkaitan kes National Feedlot Corporation (NFC).

Berikutan keputusan itu, mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman 30 bulan penjara dikenakan terhadap Rafizi tahun lepas.

Bagaimanapun notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara selepas itu.

Peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid dalam satu kenyataan berkata, Timbalan Pendakwaraya memaklumkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ditarik balik hari ini.

Sebelum itu, Rafizi pernah dikatakan mempersoalkan kenapa Pejabat Peguam Negara mengeluarkan notis membuat rayuan terhadap kesnya sehingga menimbulkan polemik politik baru-baru ini.