Bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli memberi penjelasan kepada para pengkritiknya, termasuk rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sebab beliau perlu terus bersikap kritikal terhadap kerajaan.

Rafizi berkata menyuarakan pandangan mengenai sesuatu isu sangat penting untuk semak dan imbang kepada pentadbiran negara.

“Saya baca komen-komen: Kalau dah jadi kerajaan, kenapa nak lemahkan kerajaan dengan bersuara. Bantulah kerajaan PH, duduk diam-diam atau bantu PH mentadbir.

“Ada beberapa sebab kita perlu terus beri pandangan: Pertama, naratif di social media, kedua segarkan budaya menegur,” ciap beliau di Twitter hari ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof berkata Rafizi sepatutnya membantu PH mentadbir negara dan bukannya mengkritik gabungan itu,

“Rafizi bijak, tetapi beliau perlu membantu PH mentadbir negara ke arah yang lebih baik, bukannya menidakkan kami,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

‘Populariti Dr M, PH merudum’

Beliau berkata demikian mengulas artikel Rafizi yang mengatakan populariti Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan persekutuan sejak PH mengambil alih jatuh merudum, berbanding di awal pentadbiran.

Rafizi yang juga bekas calon timbalan presiden PKR berkata, kaji selidik dijalankan Invoke Malaysia menunjukkan populariti Mahathir menjunam kepada 53 peratus sahaja berbanding 72 peratus pada Jun lalu.

“PH tidak akan berjaya menjadi lebih Melayu dari Umno atau lebih berpolitik Islam dari PAS. Faham perkauman dan politik Islam itu adalah jenama Umno dan PAS, sedangkan platform ekonomi itu adalah kekuatan kita.

“Keputusan PRU14 membenarkan hujah saya ini.

“Walaupun PH memberi ruang kepada Bersatu untuk menonjolkan dirinya sebagai jaguh Melayu (kerusi terbanyak diberikan kepada Bersatu, pengerusi negeri juga banyak diberikan kepada Bersatu walaupun parti itu paling muda dalam PH), strategi jaguh Melayu itu tidak membawa undi Melayu yang besar kepada PH,” tulis Rafizi baru-baru ini.

Redzuan berkata Rafizi perlu melihat gambaran besar yang sedang dihadapi PH, terutama sekali kerana Rafizi mewakili parti utama dalam gabungan PH.

Pada 23 Disember lalu, Rafizi turut menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengembalikan formula menyemak harga minyak secara mingguan sebagaimana yang dilaksanakan pada zaman pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak – Malaysia kini