Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kerajaan negeri akan memastikan latihan sukan ragbi akan turut dilaksanakan secara efisien bukan hanya di sekolah berasrama tetapi juga meliputi sekolah harian di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya menyedari akan kepentingan ragbi yang kini semakin mendapat tempat di hati peminat sukan malah melahirkan atlit berkelas dunia dari Malaysia.

“Saya telah memohon kepada Ahli Exco Sukan untuk memastikan latihan sukan ini dapat diperluaskan di sekolah harian kerana sebelum ini ramai mengetahui ianya hanya berfokus kepada sekolah berasrama.

“Apatah lagi, kini Perak mula melangkah dalam pelancongan sukan maka tindakan ini pastinya akan meletakkan Perak sebagai salah sebuah negeri yang menjadi tuan rumah kepada sukan ini di peringkat Asia, dan juga pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen 1 di Ipoh, pada malam Isnin.

Dr. Zambry berkata, beliau begitu mengagumi sukan ragbi yang mempamerkan semangat kesukanan tinggi, kemahiran terlatih selain membentuk sifat setiakawan dan kepimpinan yang amat mendalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Sebanyak empat negara terdiri daripada Malaysia, Filipina, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Sri Lanka menghantar wakil terbaik mereka bagi menyertai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) yang berlangsung di Padang Ipoh bermula 11 Mei lepas.

Malaysia kini berada di tangga teratas hasil pembukaan tirai kemas mempertahankan kejuaraan Divisyen 1 kejohanan itu apabila menumpaskan UAE dengan 36 – 22 pada Ahad.

Malaysia akan bertemu Filipina pada Rabu ini sebelum bertemu Sri Lanka pada Sabtu, kedua-duanya di Padang Ipoh.