IPOH: Syarikat Rahman Hydraulic Tin Sdn, Bhd. (RHT) menjadi syarikat swasta pertama di Perak yang membayar caj air bagi penggunaan kuasa elektrik dan kegunaan domestik.

Cek bayaran bernilai RM1.2 juta itu disampaikan Pengurus Besar Kanan RHT, Madzlan Zam kepada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak, Rumaizi Baharin @ Md Daud dalam majlis khas di Dewan Serbaguna PTG Perak di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, sebelum ini hanya syarikat berkaitan kerajaan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membuat bayaran seumpama itu.

“Kita harap lebih banyak syarikat swasta tampil untuk membuat bayaran ini kerana ia mampu membantu menambah hasil kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Rumaizi memberitahu, RHT membayar caj yang sama seperti yang dikenakan kepada TNB iaitu 1 sen untuk 1 meter padu air yang digunakan.

Sementara itu, Madzlan di dalam ucapannya berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Perak kerana memberi peluang kepada RHT untuk terus beroperasi di Kelian Intan, Pengkalan Hulu.