Oleh Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Di dalam keghairahan peniaga menaikkan harga barangan serta makanan berikutan kenaikkan harga bahan mentah pada hari ini, seorang pengusaha restoran memilih untuk menjual sepinggan nasi ayam hanya dengan harga RM1.30 sepinggan.

Mungkin kedengaran agak mustahil tetapi bagi peniaga Shahrizan Azmed, 37, menegaskan ianya bukan satu gimik pemasaran tetapi lebih kepada prinspnya yang berpegang kepada ‘berniaga sambil bersedekah’.

Menurutnya tidak salah untuk peniaga mencari keuntungan tetapi perlu juga ada sifat bersedekah supaya hasil perniagaan lebih berkat.

Katanya harga RM1.30 pula dipilih sebagai simbolik kepada kitab orang Islam iaitu satu Al-Quran mengandungi 30 juzuk.

Ternyata strategi perniagaan Shahrizan berkesan apabila restoran yang dibukanya tiga hari lalu mendapat sambutan luar jangkaan orang ramai.

Terletak di kawasan perumahan Bercham yang mempunyai populasi kaum Cina tinggi, restorannya yang dinamakan Nasi Ayam Taugeh RM1.30 berjaya menarik pelanggan pelbagai kaum.

nasi_ayam_13 3Katanya lagi Nasi Ayam Taugeh halal juga agak sukar didapati kerana ia lebih banyak dijual pengusaha kedai makan Cina.

“Idea nasi ayam taugeh RM1.30 ini tercetus daripada isteri saya sebenarynya…saya terus setuju kerana bersedekah itu perkara yang baik lebih-lebih lagi bagi orang berniaga seperti saya.

“Konsep kami mudah, kami nak pastikan warga Ipoh tanpa mengira kaum, dan agama dapat menikmati keenakkan nasi ayam…jadi di restoran ini perbezaan orang miskin, orang susah dengan yang berduit tiada lagi,” katanya.

Kelibat orang ramai beratur panjang akan kelihatan sebaik sahaja pengusaha membuka restoran pada jam 9 pagi.

“Pada hari pertama kami mula operasi, kami hanya masak 5 kilogram beras dan 25 kilogram ayam sehari…tapi disebabkan permintaan tinggi kita terpaksa gandakan sehingga 20 kilogram beras dan 45 kilogram ayam,” kata Shahrizan.

Katanya bagi pelanggan yang ingin bungkus nasi ayam, mereka perlu membayar RM1.60 bagi menampung kos pembungkusan.

“Kepada pelanggan semua, saya harap mereka berpuas hati dan kami akan cuba perbaiki lagi,”katanya ketika ditemui di kedainya.

Selain menawarkan menu Nasi Ayam Taugeh, restorannya turut menghidangkan “shell-out” pada sebelah malam yang mana resepinya disediakan isterinya.

“Agak lucu kerana saya berkongsi gambar dan status di Facebook berkenaan restoran Nasi Ayam Taugeh saya yang baru beroperasi. Niat saya nak ajak orang datang tapi tak sangka kena serbu dan restoran saya jadi tular.

Sejak ia tular kami langsung tiada masa rehat kerana terlalu ramai yang datang…Alhamdulillah rezeki,” kata bapa anak dua ini.

“Sebagai pengusaha kedai makan, saya juga percaya biarlah makanan yang dihidangkan itu disediakan seperti kita menyuap nasi ke mulut sendiri dan keluarga kita. Biar ianya istimewa, bersih dan puas hati,”ujarnya lagi.

Pelanggan Khairul Azlan Abdul Rahman dari Manjoi berkata beliau begitu terkejut dan seolah tidak percaya apabila terbaca “posting” Facebook mengenai kedai nasi ayam RM1.30 itu.

“Saya pun ajak kawan-kawan dan cuba sendiri, jadi buat kali pertama ini saya boleh cakap memang berbaloi, dengan kuantiti dan harga, malah ianya cukup sedap.

“Selain itu, kita juga boleh pesan sampai 2-3 pinggan sebab harganya masih murah berbanding dengan sepinggan nasi bernilai sehingga RM5.00 di luar sana,” katanya ketika ditemui selepas selesai menikmati nasi ayam itu.

Khairul berkata, beliau amat menyenangi dan menghormati niat pemilik restoran itu yang mahu orang ramai menikmati keenakan nasi ayam tanpa rasa terbeban.

“Hari ini, mana ada harga barang yang turun, semua naik yang dikatakan berpunca daripada harga minyak…bahan asas semua naik…jadi saya kagum dengan pemilik kedai kerana berani. Moga murah rezeki dia,”katanya lagi.