IPOH: Majlis meraikan kontinjen BAIDURI bersempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se Malaysia (PTIWRBNM) berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada malam Ahad.

Majlis itu dianjurkan bagi menghargai kejayaan BAIDURI dalam acara badminton dan boling yang berlangsung di Kedah minggu lalu.

BAIDURI yang diketuai Datin Seri Saripah Zulkifli muncul juara selepas membenam pasukan badminton BAKTI dengan keputusan 3-1 dalam aksi akhir kejohanan di Stadium Sultan Abdul Halim.

Saripah dalam ucapannya berkata resepi kejayaan itu terletak kepada keazaman serta strategi bersama jurulatih dan pasukan.

“Setelah beberapa kali duduk di tangga ketiga bagi acara itu (badminton), BAIDURI sudah pandai dan ada strategi khusus…kita fokus kerana empat tahun berturut-turut kita menentang BAKISA (Sabah).

“Kita tetapkan fokus dan menggunakan strategi yang betul untuk berjumpa Sabah, sekaligus kita melangkah ke peringkat akhir jumpa BAKTI.

“Akhirnya usaha kita selama ini berbaloi dan kita berjaya meraih johan badminton setelah sekian lama menanti,” ujar Saripah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ahli-ahli BAIDURI serta barisan wakil rakyat yang memberikan sokongan kepada isteri masing-masing.

Sementara itu, Dr. Zambry turut melahirkan rasa gembira dan mengucapkan tahniah di atas kejayaan BAIDURI yang disifatkannya sebagai terbaik.

“Kami di pihak suami berasa teruja dengan perjuangan yang ditonjolkan sepanjang ia berlangsung.

“Pengorbanan dari segi masa dan jarak untuk berlatih selama ini, selain semangat yang ditunjukkan oleh isteri wakil rakyat kita begitu tinggi, termasuk kepada jurulatih yang terlibat,” ujarnya.

Terdahulu BAIDURI yang menghapuskan penguasaan BAKISA dalam dua edisi berturut-turut, layak membawa pulang Piala Perdana Menteri yang menjadi rebutan para kontinjen seluruh Malaysia.

PTIWRBNM kali ini menyaksikan Kedah sebagai tuan rumah dengan pelbagai acara disediakan, khusus untuk peserta,  termasuk badminton dan boling.

Bagi acara boling, kedua-dua kategori individu dan kumpulan diungguli Persatuan Isteri-isteri dan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (PENAWAR) dari Kelantan, tetapi johan keseluruhan acara boling dimenangi BAKTI yang membawa pulang Piala Perdana Menteri.