JAKARTA, 10 Ogos (Bernama) — Raja Dangdut Indonesia Rhoma Irama menfailkan bantahan terhadap undang-undang berkaitan kuota kelayakan pencalonan bagi jawatan presiden dan naib presiden Indonesia di Mahkamah Perlembagaan di sini.

Media-media tempatan hari ini memetik Ketua Umum Partai Islam Damai Aman (IDAMAN) itu mencabar Pasal 222 Undang-undang pilihan raya umum (Pemilu) yang mengenakan syarat ambang batas pencalonan presiden dan wakil presiden dan Pasal 173 ayat (1) dan (3) mengenai kelayakan parti politik menyertai Pemilu oleh Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU).

Beliau berkata, partinya telah membuat keputusan mencalonkan dirinya sebagai presiden republik itu pada pilihan raya akan datang dan undang-undang berkenaan telah menafikan hak rakyat untuk secara bebas menawarkan diri bagi merebut jawatan pemimpin negara.

Kerajaan baru-baru ini menguatkuasakan syarat kuota minimum 20 peratus kerusi atau 25 peratus suara sah nasional bagi mana-mana parti politik yang ingin mengajukan calon presiden pada pilihan raya umum 2019.

Undang-undang itu diluluskan Parlimen walaupun mendapat bantahan beberapa parti politik dan Presiden Joko Widodo dalam kenyataannya berkata mana-mana pihak boleh membantah undang-undang itu dengan mencabarnya di mahkamah.