BAGAN DATUK — Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Ahmadiah di Kampung Sungai Batang di sini malam ini.

Kira-kira 1,000 penduduk kampung dan masyarakat setempat mula memenuhi perkarangan masjid mulai jam 5 petang.

Baginda yang tiba di masjid pada pukul 7 malam diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan Dr Abdul Aziz Bari yang mewakili Menteri Besar dan Pegawai Kewangan yang memangku tugas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ghazali Jalal.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Adun Hutan Melintang Datuk Khairuddin Tarmizi.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Ustaz Mohamad Zamhana Ismail dan juga bacaan tahlil sementara menanti waktu berbuka puasa.

Baginda turut berkenan menyerahkan zakat fi sabilillah bagi kegunaan biaya pembangunan institusi ke arah memartabatkan syiar Islam daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Perak berjumlah RM10,000.

Cek zakat tersebut diterima oleh pengerusi Masjid Ahmadiah Kampung Sungai Batang, Selekoh, Rungkup, Ahmad Zabaidi Saleh disaksikan oleh Aziz dan Pengurus Besar TNB Negeri Perak Raja Datuk Abdul Jalil Raja Zaid.

Baginda berangkat meninggalkan majlis kira-kira pada pukul 8.40 malam selepas bersalaman dengan para penduduk yang hadir.