KAMUNTING– Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1440/2018 Peringkat Negeri Perak di Dewan Besar, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin serta barisan Exco kerajaan negeri.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran disusuli dengan ceramah Maulidur Rasul serta persembahan khas nasyid.

Majlis diteruskan dengan selawat beramai-ramai dengan dipimpin oleh barisan imam dan diikuti dengan hadirin yang memenuhi dewan.

Pada majlis itu, Raja Jaafar berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima anugerah yang terdiri dari kategori Anugerah Pegawai Masjid (Imam, Muazzin, Siak), Anugerah Pendakwah dan Anugerah Keluarga Mithali.

Anugerah Keluarga Mithali diterima oleh Harun Othman, Anugerah Pendakwah diberikan kepada Aman Asnida Abdullah, Anugerah Imam kepada Shuhim Ali Othman dan Anugerah Siak diberikan kepada Mior Osman Mat Aleh.