IPOH: Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa menyempurnakan Majlis Makan Malam Amal Karnival Sukan 100 tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson pada Ahad.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu serta kehadiran bekas pelajar sekolah tersebut.

Baginda dalam titahnya menzahirkan ucapan penghargaan buat mereka yang menyumbang bagi membantu golongan kurang bernasib baik, menerusi program itu.

“Jadikan majlis makan malam ini sebagai pengikat silaturrahim antara kita, tujuan makan malam ini dianjurkan adalah untuk membantu murid-murid kurang bernasib baik di SMK Anderson.

“Mereka perlu dibantu supaya dapat menjalani aspek akedemik dengan baik, terima kasih di atas kesudian anda yang hadir malam ini,”titah baginda.

Dalam majlis itu turut disampaikan Anugerah Ikon Sukan kepada Presiden Anderson old Boys Association (ASOBA) yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Anugerah itu diberikan bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa Abdul Azim dalam kemajuan sukan bukan sahaja di negeri ini bahkan di Malaysia.

Di sepanjang majlis berlangsung, hadirin dihiburkan dengan persembahan kumpulan Selendang Perak, duet 2 Syed of Andersonians, tarian Zapin Anderson serta tarian Jepun Anderson.

1/6