Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, 75, mangkat pada petang Selasa.

Baginda mangkat pada pukul 5.07 petang di Petaling Jaya, Selangor bersamaan dengan 12 Muharram 1439 Hijrah.
Berita kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan pada malam ini.

Menurut beliau, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan, Negeri Perak akan berkabung sehingga selesai permakaman dan bendera negeri hendaklah dikibarkan separa tiang.

Dr Zambry berkata, ianya adalah sebagai tanda bersedih dan dukacita dengan kemangkatan Almarhumah Raja Nor Mahani yang merupakan isteri Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Raja Musa.

Jenazah Almarhumah akan disemayamkan di Istana Ar-Ridzuan, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh.

Menteri Besar berkata, rakyat jelata boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 10.00 pagi hingga 11.30 pagi manakala pembesar negeri dan orang kenamaan pula bermula pukul 11.30 pagi.
Jenazah Almarhumah akan dimakamkan di Makam DiRaja Kuala Kangsa selepas solat Asar pada hari Rabu, 4 Oktober 2017 masihi bersamaan 13 Muharram 1439 Hijrah, katanya.

Beliau mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhumah Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah dalam kalangan para solehah.