KUALA LUMPUR : Raja-raja Melayu akan bersidang bersama dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok sebelum solat Jumaat, menurut laporan di akhbar The Star.

Seri Paduka, sejak Selasa lalu telah berjumpa dengan semua ahli parlimen dan beberapa pemimpin parti politik. Hari ini, baginda berkenan menerima mengadap perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad.

Media turut difahamkan antara inti pati mesyuarat esok  ialah berhubung situasi politik terkini di negara ini, termasuk kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan Raja-raja Melayu terutama sekali Yang di-Pertuan Agong, antaranya termasuk meneruskan kerajaan baharu, serta pembubaran Dewan Rakyat.

Seorang jurucakap Istana Negara walau bagaimanapun memberitahu  bahawa mesyuarat itu belum disahkan.

Mahathir ketika ini menjemput semua ahli parlimen untuk bersamanya membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang tidak terikat dengan tekanan daripada sebarang parti politik.

Kerajaan Persekutuan PH tumbang Isnin lalu berikutan pengunduran Bersatu dari PH dan peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri.

Walau bagaimanapun, PKR, DAP dan Amanah berikrar untuk tetap bersama sebagai PH dan telah menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka serta mengulangi komitmen mereka untuk menunaikan janji-janji yang dibuat dalam manifesto PRU-14.