RIYADH: Pemimpin Arab Saudi, Raja Salman, memecat ketua turus tentera dan beberapa komander kanan lain, lapor media kerajaan, semalam, dalam perubahan mengejut ke atas badan pertahanan negara itu.

Pelantikan penjawat awam turut diumumkan, semalam termasuk seorang wanita, Tamadar Yousef al-Ramah sebagai timbalan menteri buruh dan pembangunan sosial, selain Putera Turki Talal – adik bilionair, Putera Al-Waleed Talal yang disiasat rasuah sebelum ini sebagai timbalan gabenor wilayah Assir.

Beberapa dekri diraja dikeluarkan lewat Isnin (waktu tempatan) itu menggantikan ketua tentera darat serta udara, selain pegawai kanan dalam kementerian dalam negeri.

Tiada sebab rasmi diberikan untuk tindakan berkenaan, tetapi ia menyusul ketika campur tangan tentera diketuai Arab Saudi di Yaman terhadap pemberontak Houthi disokong Iran yang kini menghampiri tahun keempat.

Agensi berita rasmi Saudi Press Agency (SPA) menyebut: “Perkhidmatan Jeneral Abdul Rahman Saleh al-Bunyan, Ketua Turus, ditamatkan dengan Fayyad al-Ruwaili dilantik menggantikannya.”

Pemecatan Abdul Rahman yang mengejutkan itu berlaku selepas dia merasmikan pameran besar minggu ini oleh Saudi Arabian Military Industries (SAMI), syarikat pertahanan milik kerajaan yang mengetengahkan usaha berterusan pembaharuan dalam sektor berkenaan. – AFP