KAMUNTING: “Janganlah merajuk…pulanglah nak,” rayu ibu kepada remaja 16 tahun Izzatul Najwa Ahamad yang hilang sejak tiga hari lalu.

 

Ajiyah Mat Arif, 50, berkata anak perempuan tunggalnya itu keluar rumah di Taman Kamunting Bakti sekitar 4.30 petang dan sejak itu tidak pulang rumah.

 

Menurutnya dia mensyaki Najwa itu enggan pulang disebabkan merajuk kerana merasakan dirinya terlalu dikongkong keluarga berikutan sering dihalang daripada keluar rumah dan pergaulannya yang sentiasa terbatas.

 

Ibu yang kelihatan begitu sedih itu berkata malam Ahad sebelum kejadian dia ada menegur dan menasihati Izzatul ketika mereka sekeluarga di meja makan.

 

“Esok petangnya, dia ada cakap nak keluar sebentar tapi tidak diberitahu kemana dan selepas itu tak balik-balik lagi.

 

“Dia tak ada bawa apa-apa pun, keluar sehelai sepinggang sebab kad pengenalan dia dan baju-baju semua masih di rumah.

 

“Yang hairannya, saya ada minta bantuan kawan-kawan menghubungi Najwa di Wechat. Dia balas kata dia ingin ketenangan, ingin bebas…tapi bila saya hantar pesanan ke Whatsapp dia tidak pula membaca pesanan saya

 

“Pulanglah nak…mak ayah dah risau sangat,”katanya ketika dihubungi Astro Awani pada petang Rabu.

 

Najwa, anak kedua daripada tiga beradik itu juga dikatakan sering keluar dari rumah ketika cuti sekolah namun dia tidak pernah menunjukkan tabiat pelik, kata wanita itu.

 

Menurut Ajiyah, beliau yakin bahawa anaknya tidak dilarikan mana-mana pihak namun amat risau dengan keselamatan anaknya itu.

 

Katanya, beliau ada menghubungi kedai baju di mana Najwa ada menempah baju untuk mengetahui samada anak perempuannya ada datang mengambil baju tersebut.

 

“Saya dah cuba macam-macam cara untuk hubungi dia tapi tak berjaya. Mak merayu baliklah..dah dua hari ni mak risau sangat,”ujarnya hiba.

 

Katanya, ketika keluar rumah Najwa dilihat memakai baju T-shirt berwarna biru dengan menggenakan inner hitam manakala bertudung biru serta berseluar jalur hitam putih.

 

Beliau memohon orang ramai yang terjumpa anak perempuannya supaya  menghubungi anak lelaki sulungnya, Muhammad Izzat Ahamad Foad di talian +60195172437.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib ketika dihubungi mengesahkan menerima repot berkenaan dengan kehilangan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kamunting tersebut.

 

“Pihak polis ada menerima laporan kes pelajar perempuan hilang tetapi buat masa ini maklumat lanjut belum dapat didedahkan demi kepentingan siasatan,”katanya ketika dihubungi.