IPOH 18 April – Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan UMNO tidak terlibat dalam penyebaran satu rakaman audio yang tular dalam media sosial mengenai seorang individu yang mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, penyebaran rakaman audio tersebut tiada kaitan dengan UMNO dan mana-mana pihak tidak sepatutnya menuding jari terhadap UMNO.

“Apa hal nak kaitkan dengan UMNO pula. Yang berantakan ialah mereka (Pakatan Harapan) dengan Menteri Besar, bukan dengan UMNO. Dalam rakaman audio itu pun yang diperkatakan ialah hal mereka (PH), tak kata fasal UMNO pun.

“UMNO dan Pas tak akan menggoncang atau mengambil alih kerajaan dalam keadaan tak bermoral, kami berikrar jadi pembangkang yang berwibawa. Kami mahu jadi pembangkang yang boleh semak dan imbang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE