Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Perbuatan seorang lelaki yang mencuri beg tangan milik seorang jemaah wanita di sebuah masjid dekat sini, malam tadi ketika solat Isya berjaya dirakam di dalam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Dalam rakaman berdurasi 22 saat itu, lelaki yang memakai baju T-shirt berwarna hitam berkenaan kelihatan meninjau keadaan dalam masjid sebelum melarikan beg tangan wanita secara terburu-buru ketika jemaah lain sedang khusyuk menunaikan solat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu disahkan berlaku di Masjid Al Muttaqin Bandar Baru Putra.

Mohd Ali berkata, beg tangan tersebut adalah kepunyaan seorang surirumah warga emas yang datang untuk menunaikan solat jemaah di masjid tersebut.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa sedang menunaikan solat sebelum mendapati beg tangan yang diletakkan dihadapannya telah diambil orang.

“Mangsa tidak menyedari orang yang mengambil beg tangan tersebut yang mengandungi dokumen pengenalan diri, kad bank, wang tunai lebih kurang RM500 serta telefon bimbit,”katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Ali berkata pihaknya juga cuba untuk menghubungi telefon mangsa namun gagal untuk dihubungi.

“Rakaman CCTV menunjukkan seorang  lelaki telah mengambil beg tersebut, bagaimanapun wajah suspek tidak jelas.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,”ujarnya lagi.