KUALA KANGSAR – Rakan-rakan kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad masih dalam keadaan tidak percaya dan terkejut dengan insiden yang menimpa rakan mereka itu.

Mereka masih lagi mengharapkan Wan Khair-il yang lebih mesra dikenali sebagai Anjang akan ditemui dalam keadaan selamat.

 

 

Menurut mereka, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu merupakan seorang individu yang ramah dan amat merendah diri meskipun berstatus wakil rakyat.

Badiuzaman Mohd Hashim berkata, Wan Mohammad Khair-il merupakan seorang yang lemah lembut dan insiden itu amat mengejutkan, terutamanya kepada sesiapa yang rapat dengan beliau.

“Baru-baru ini ketika balik Bukit Chandan, saya berpeluang jumpa dengan beliau, dia memang seorang yang baik walaupun dah berkedudukan. Saya sejak kecil lagi memang dah berkawan dengan dia, boleh saya cakap beliau seorang yang lembut dan tidak pernah menyakiti siapa-siapa.

“Sebaik sahaja saya dapat berita mengenai insiden ini, saya dari Kelantan terus ke sini untuk berjumpa dengan keluarganya. Saya amat berharap beliau selamat,” katanya ketika ditemui di rumah Wan Mohammad Khairul dekat Bukit Chandan pada Jumaat.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Suhaimi Abdul Malik memberitahu, sifat lemah lembut Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu merupakan faktor yang membuatkan penduduk Kuala Kangsar mudah mendekati beliau.

Malah beliau mempunyai hubungan yang baik dengna pihak pembangkan di daerah itu.

“Saya teringat satu hari tu saya ikut dia pergi ke program, ketika dalam kereta saya tanya dia Abang Wan tak letih ke, dia hanya terdiam. Dia memang bukan seorang yang mementingkan diri. Beliau mempunyai perwatakkan yang “A” sehinggakan pembangkang pun tak ada masalah nak duduk semeja dengannya,” ujarnya.

Bagi Ketua Kampung Bukit Chandan, Ibrahim Lukman Kusyairi pula, Wan Khair-il telah banyak berjasa kepada Kuala Kangsar dan sekiranya apa-apa berlaku kepada wakil rakyat itu, ianya merupakan sesuatu yang amat-amat menyedihkan.

“Kami amat-amat berharap dia selamat, itu sahaja kami mampu lakukan sekarang ini, kami hanya boleh berdoa ketika ini,” katanya dengan nada sedih.

Beberapa penduduk yang ditemui turut berharap tiada perkara tidak diingini berlaku kepada bekas ADUN Bukit Chandan itu kerana sahabat dan penduduk Kuala Kangsar masih belum sedia kehilangan pemimpim berjiwa rakyat dan seorang rakan.