Adam bersama kakaknya

PASIR PUTEH: “Saya sempat pegang bahu Adam sebelum dia terjatuh ke bawah bas,” kata Imam Mushaddad Mohd Nazman, 12, rakan kepada Wan Mohammed Adam Mohd Suria yang maut selepas terjatuh dari bas yang sedang bergerak di Kampung Kandis, Bukit Yong, Pasir Puteh, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu murid Tahun Enam itu maut di tempat kejadian akibat parah.

Mayat kemudian dibawa untuk bedah siasat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka, Machang, 10.10 malam tadi.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Imam Mushaddad berkata, sebelum kejadian dia melihat rakannya ke depan dan berbual dengan pemandu bas.

ARTIKEL BERKAITAN-Luluh hati ibu anak kesayangan hilang sekelip mata

Katanya, secara tiba-tiba dia melihat Wan Mohammed Adam ’terjerlus’ ke bawah sebelum dia sempat memegang bahu rakannya itu.

“Ketika itu bas masih lagi bergerak dan lama kelamaan pegangan saya terlepas sebelum dia (Adam) semakin ‘turun’ ke bawah dan terjatuh ke bawah (bas). Ketika itu Adam hanya senyap tidak menjerit minta tolong.

“Apabila seorang murid perempuan ‘nempik’ (menjerit), baru pemandu bas hentikan kenderaan.

“Sebaik bas berhenti, saya tidak berani melihat keadaan Adam dari dekat,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baka, malam tadi.

Menurutnya, ketika menaiki bas itu, dia dan murid lain tidak nampak keadaan lantai bas itu.

“(Permukaan) lantai nampak biasa, macam papan ada karpet atasnya,” katanya.

Katanya, dia mengenali Adam sejak Tahun Dua selepas dia berpindah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Machang 1 ke SK Tok Bok di Machang.

Ketika kejadian 11.50 pagi semalam itu, bas sekolah yang dinaiki 31 murid Tahun Enam itu dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang ke Besut, Terengganu dan sebaik sampai di Kandis, Bukit Yong, dekat Pasir Puteh, kanak-kanak itu terjatuh ke atas jalan.

Sebelum kejadian mangsa dipercayai bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu.

Secara tiba-tiba mangsa melompat ke bahagian hadapan pintu masuk bas dan terus terjatuh ke bahagian bawah kerana bahagian lantai kenderaan itu reput.