KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja boleh mengkritik kerajaan sekiranya melakukan perkara tidak betul, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri  berkata, rakyat mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan termasuklah media yang selalu mengkritik PH.

“Kalau kita buat tak betul, hentamlah. Selain daripada media semuanya hentam kerajaan takkan nak hentam parti lawan. Mereka tidak buat apa, hentam sahaja,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahathir berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai catatan terbaharu penasihat media dan komunikasinya sendiri, Datuk A.Kadir Jasin di Facebook beliau, semalam.

A Kadir berkata masa menasihat sudah tamat selepas 17 bulan Pakatan Harapan memerinah negara.

Jelasnya, kini sudah tiba masa untuk melakukan apa sahaja perkara sesuka hati.

“17 bulan sudah berlalu. Masa menasihat sudah tamat. Sekarang hantam sajalah,” kata A. Kadir di Facebook.

Jelas Mahathir lagi, A. Kadir berhak untuk mengkritik kerajaan sama seperti rakyat di luar sana.

Malah katanya, PH juga sering di kritik di Dewan Rakyat.

“Dia boleh hentam kerajaan, dalam Parlimen pun ada yang hentam kerajaan juga,” katanya lagi.