LEKIR– Jika ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan khidmat serta kemajuan yang dilaksanakan oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar di Perak, rakyat sendiri bijak menilainya, ujar Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Rashidi Ibrahim.

Jelasnya, strategi pembangkang kini lebih menjurus kepada tohmahan yang boleh meracuni pemikiran rakyat selain gemar bermain dengan emosi.

“Mungkin mereka boleh komen perkhidmatan Dr. Zambry, namun rakyat Perak secara keseluruhannya kenal siapa dia (Dr. Zambry) dan juga lebih mengetahui apa sumbangannya kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pembangkang (Prof Dr. Abdul Aziz Bari) kononnya Dr. Zambry selaku Menteri Besar mengabaikan kawasan yang dimenangi pembangkang dalam ceramahnya di Kampung Paloh, Batu Gajah, semalam.

Aziz Bari baru-baru ini disahkan sebagai calon DAP DUN Tebing Tinggi, menjadikan beliau satu-satunya calon Melayu DAP di Perak.

Rashidi berkata, sikap pembangkang yang kerap tenggelam timbul dan hanya muncul ketika musim Pilihan Raya Umum membuktikan mereka bukan berjuang untuk kepentingan rakyat.

“Takkanlah dalam masa dua ke tiga hari datang ke Perak dan melihat kemajuan dan pencapaian Perak, ada pihak pula pertikaikan apa usaha yang dilakukan Menteri Besar,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika memulakan kempen di kawasan Pasir Panjang di sini, pada Isnin.

Rashidi yang memulakan lawatan ke beberapa buah lokasi, berkesempatan beramah mesra bersama penduduk yang ditemui.

Antara lokasi yang dikunjungi seawal jam 8.30 pagi seperti warung roti canai Batu 10, lawatan ke bilik-bilik cawangan serta Kampung Sitiawan.

BERITA BERKENAAN : Pembangunan Pekan Kecil Amanjaya Diiktiraf Antarabangsa