PETALING JAYA : Ahli-ahli politik boleh disaman bagi kesalahan menyalahgunakan jawatan awam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, kata bekas hakim Gopal Sri Ram.

Sehingga kini, katanya, orang awam hanya boleh bergantung kepada pendakwa raya untuk mengenakan pertuduhan terhadap ahli politik yang menyalahgunakan kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Kanun Keseksaan.

“Kita akhirnya keluar dari era gelap yang menghalang tindakan sivil terhadap ahli politik yang menjadi pegawai awam susulan keputusan mahkamah,” katanya

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata perundangan Malaysia kini sama dengan England di mana “tort” itu dibangunkan kira-kira 300 tahun yang lalu.

“Kita akhirnya menyertai barisan negara Komanwel yang lain seperti India, Afrika Selatan dan Australia di mana penjawat awam boleh dipertanggungjawabkan atas tindakan atau peninggalan mereka,” katanya.

Sri Ram memberi maklum balas terhadap keputusan di mana Najib Razak ketika bergelar perdana menteri adalah pegawai awam dan boleh didakwa kerana menyalahgunakan jawatan awam.

Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan panel tujuh hakim mahkamah itu berkata, perdana menteri atau mana-mana menteri adalah pegawai awam mengikut Seksyen 5, Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Keputusan mereka membenarkan rayuan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua untuk mengembalikan semula samannya terhadap Najib dan kerajaan yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2017.

Nallini berkata tidak dinyatakan dalam perundangan sama ada dalam Perlembagaan Persekutuan atau Akta Tafsiran untuk membatalkan definisi ‘common law’ bagi terma “pegawai awam.”

Beliau berkata, tiada undang-undang bertulis spesifik yang dikuatkuasakan di Malaysia yang meminda dan menggantikan salah guna jawatan awam dalam ‘common law tort’.

Sementara itu, peguam A Srimurugan berkata amat menggembirakan untuk mengetahui bahawa “tort” itu tidak lagi digunakan untuk penjawat awam sahaja tetapi juga ahli politik, sama ada dipilih atau dilantik.

“Ia kini membiarkan mereka yang arif undang-undang untuk membuat tuntutan terhadap mana-mana defendan yang tidak bertanggungjawab dan mengembangkan undang-undang di negara ini,” katanya.

Srimurugan juga berkata “tort” itu sudah terpakai kepada penjawat awam.

Beliau memberi contoh kes 2007 di mana bekas peguam negara Abdul Gani Patail dan kerajaan diarah membayar membayar ganti rugi RM230,000 bagi pendakwaan berniat jahat terhadap ketua Pemuda PKR ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Srimurugan berkata bekas ketua polis Selangor, Khalid Abu Bakar, yang kemudiannya menjadi ketua polis negara, juga didapati bertanggungjawab di bawah “tort” ini apabila peniaga kereta terpakai ditemui mati di lokap polis di Subang Jaya.