Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan penjawat awam untuk sentiasa mengingati rakyat sebagai pendorong dan denyut nadi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.

ADUN Pangkor itu berkata penjawat awam di mana-mana, peringkat baik di peringkat permulaan atau atasan perlu memahami erti sebenar turun padang dan bukannya sekadar menyiapkan tugasan atas dasar memenuhi syarat.

“Pesan saya, di mana-mana peringkat sahaja dalam sebuah jabatan atau agensi, kita jangan sekadar bijak mengendalikan atau mempengerusikan mesyuarat sahaja.

“Kita harus faham bahawa rakyat adalah pendorong kita, untuk terus berkhidmat secara ikhlas dan telus, selami jiwa mereka dan bukan sekadar berada di pejabat sahaja, fahami masalah sebenar di peringkat bawah, barulah kita boleh mengusulkan cadangan sebagai jalan penyelesaian,” katanya ketika berucap dalam Program Santai bersama Penjawat Awam di Dewan Bandaran Teluk Intan, di sini pada Jumaat.

 

rakyat-denyutnadi 3

Katanya, kejayaan Perak menempa pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan adalah hasil kolaborasi penuh daripada penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan tersebut.

Dr Zambry juga mengingatkan penjawat awam untuk tidak leka mengendalikan pentadbiran baik dari segi pengurusan fail, kemaskini laporan terkini dan sentiasa berkomunikasi dengan kakitangan di semua peringkat.

“Bila kita ditugaskan di sebuah negeri, secara automatic kita akan berkhidmat kepada kerajaan negeri kerana kita ditempatkan di situ, jadi apa yang saya harapkan adalah kerjasama tanpa sempadan antara kita semua.

“Khususnya, di daerah Hilir Perak kita mempunyai tiga individu berpengalaman yang menjawat posisi penting di Kabinet, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan seorang Timbalan Menteri, bukan mudah di Malaysia untuk kita dapatkan pengiktirafan dan kepercayaan begini justeru jadikan ini sebagai bukti dan inspirasi memberikan yang terbaik,”katanya lagi.

Lebih daripada 500 penjawat awam menghadiri program yang cukup santai dengan kehadiran Menteri Perladangan, Industri dan Komoditi,Datuk Seri Mah Siew Keong merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abd Puhat Mat Nayan dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.