SHAH ALAM – Cadangan supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan atau kadarnya dikurangkan antara yang dikemukakan rakyat negara ini menerusi laman sesawang https://bajet2018.najibrazak.com.

Pandangan supaya kerajaan menurunkan GST daripada enam peratus kepada empat peratus antara cadangan daripada pengguna yang mendapat sokongan tertinggi bagi kategori kos sara hidup.

Cadangan daripada pengguna bernama Faraniza di laman web berkenaan turut disokong oleh 140 pelayar lain menerusi butang suka.

Alasan supaya kadar itu diturunkan adalah supaya dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Ia antara cadangan yang menerima sokongan tertinggi daripada pelayar di bahagian kos sara hidup laman sesawang berkenaan, yang disediakan kerajaan untuk mendapatkan input, maklum balas dan cadangan rakyat bagi membentuk bajet tahunan negara.

Bagi pengguna laman web itu Mohd Yazid Abd Rahim, dia berpendapat pemansuhan atau penurunan GST enam peratus kepada dua peratus akan disambut baik rakyat negara ini.

Katanya, ia selaras dengan slogan kerajaan iaitu rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Menurut Wendy Dorothy pula, GST perlu dimansuhkan kerana ia antara punca peningkatan kos sara hidup.

“Sebelum GST diperkenalkan, rakyat berpendapatan rendah mampu membeli berbanding sekarang. Diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Menurut Muhammad Firdaus Amran, dia mencadangkan kepada kerajaan supaya GST dimansuhkan dan digantikan dengan cukai yang lebih mesra rakyat.

“Sebagai contoh cukai yang hanya dikenakan kepada mereka tertentu sahaja bukan keseluruhan rakyat dan ini satu cukai yang boleh dianggap tidak mesra rakyat kerana semua tidak kira pesara, orang kurang upaya, suri rumah, warga emas terpaksa bayar GST,” katanya.

Manakala bagi Mohamed Ibrahim, GST perlu dimansuhkan dan bagi mengimbanginya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga perlu dihentikan.

“Ini kerana BR1M diberikan hanya kepada golongan tertentu dan GST pula dikenakan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, terdapat juga cadangan agar kelengkapan bayi seperti susu formula, lampin pakai buang dan makanan bayi usia 6 tahun dan ke bawah tidak dikenakan GST kerana terdapat keluarga mempunyai anak ramai dan jarak antara adik beradik yang rapat.

Sebelum ini Najib menyatakan GST penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara keseluruhannya.

Jelasnya, harga minyak rendah menyebabkan penyusutan pendapatan yang boleh menjejaskan negara.

-Sinarharian