KUALA LUMPUR: Pola pengundi, khususnya dalam kalangan generasi muda pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu memberi isyarat bahawa mereka mahukan tadbir urus berpaksikan undang-undang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, bertitah mesej jelas yang diterjemahkan menerusi pertukaran pentadbiran kerajaan itu antara lain menunjukkan ‘defisit keyakinan’ berlaku kerana faktor rasuah dan salah guna kuasa.

Baginda menyifatkan, wujud peralihan keutamaan dalam kalangan rakyat apabila keperluan ke arah tadbir urus berpaksikan undang-undang lebih penting, berbanding karisma seseorang individu.

“Pola pengundian dalam kalangan generasi lebih muda dan remaja pula memperlihatkan kaedah mendapatkan sokongan dengan mensensasikan isu agama serta kaum semakin kurang berkesan sebagai faktor daya penarik.

“Pengundi lebih utamakan aspek urus tadbir yang baik,” titah baginda ketika merasmikan buku ‘Cerminan Perpaduan Rakyat Malaysia dan Pelbagai Cabaran’, hari ini.

Kompilasi artikel hasil percambahan idea dan luahan pandangan oleh Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia, Dr Chandra Muzaffar itu diterbitkan Zubedy (M) Sdn Bhd.

Berbaki 22 hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61, Sultan Nazrin bertitah, sorotan sejarah Malaysia memperlihatkan setiap peralihan kuasa tidak terpalit dengan sebarang insiden hitam.

Titah baginda, keberanian pengundi untuk menukar kerajaan sehingga menyaksikan peralihan kuasa dilaksana secara aman dan harmoni mencerminkan akar demokrasi negara bertuah ini semakin subur.

“Sentimen pengundi wajib dibaca secara tepat oleh kerajaan selepas diberikan mandat memerintah, selain wajib dijadikan panduan kepada parti politik yang berusaha untuk meneruskan jangka hayatnya.

“Sentimen kecenderungan pengundi ke arah tadbir urus yang baik, telus dan memberi isyarat bahawa daya pengaruh isu sensasi berteraskan agama serta kaum semakin kurang berkesan.

“Ia membuka ruang luas untuk budaya politik di negara ini dapat dibangunkan atas asas yang sama,” titah baginda.

Menyentuh kepincangan ke arah memperkukuhkan kesatuan dalam kalangan rakyat, Sultan Perak bertitah, penggunaan bahasa Malaysia wajar dijadikan ‘resipi’ kejayaan yang berupaya dijadikan pemangkin untuk mengurangkan jurang perbezaan persefahaman antara kaum.

Baginda bertitah, ada persepsi negatif pelbagai pihak, kononnya kemerdekaan dikecapi Tanah Melayu yang ketika itu terdiri daripada rencam kaum dan agama bakal ranap susulan struktur demografi negara.

Bagaimanapun, titah baginda, ‘kuasa’ bahasa Malaysia yang merapatkan ukhuwah antara kaum dan penganut agama berbeza akhirnya menidakkan persepsi negatif berkenaan.

“Betul, sesetengah usaha perpaduan berdepan kepincangan, tetapi negara mana di dunia ini yang tidak mengalami situasi sedemikian,” titah baginda.