KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 20 tahun ditahan pihak berkuasa Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi selepas cuba menyeludup keluar senjata api.

Laporan media Pakistan memetik Al Muhd Alfie Kqhyriel sebagai suspek anggota militan yang cuba menyeludup keluar sejumlah senjata api yang telah dilerai di dalam bagasi miliknya.

Polis menjumpai sejumlah empat pucuk pistol, lapan kelopak peluru, dan 70 butir peluru pada Al Muhd Alfie.

Maklumat awal menyebut senjata dan peluru berkenaan mahu dibawa ke Malaysia berdasarkan tiket perjalanan yang dibeli, lapor Daily Pakistan Global.

Hasil pemeriksaan mendapati senjata tersebut disembunyikan di tempat rahsia di dalam beg Al Muhd Alfie termasuk yang disorok di dalam seluar dan kasutnya.

Al Muhd Alfie kemudian diserahkan ke balai polis lapangan terbang untuk tindakan lanjut.

Siasatan turut menjurus kepada penglibatan Al Muhd Alfie dengan kumpulan pengganas Daish.

Berdasarkan maklumat yang didedahkan media Pakistan, Al Muhd Alfie dilahirkan pada 17 Julai 1997 di Kuching, Sarawak.