KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di New Delhi, India, mengesahkan rakyat Malaysia yang dibunuh di Kabul, Afghanistan, diculik bersama dua rakan sekerjanya awal minggu ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar, mayat ketiga-tiga mereka ditemui di Mussahi, yang terletak dalam jarak 33 kilometer (km) dari selatan Kabul, hari ini.

“Pada masa ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian penculikan dan pembunuhan ketiga-tiga mangsa,” katanya.

Kedutaan Besar Malaysia di New Delhi, sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa di Afghanistan dalam mendapatkan sebarang perkembangan dan petunjuk terbaru serta terkini berhubung kejadian yang berlaku.

Selain itu, Kementerian Luar juga sedang berusaha untuk menguruskan urusan membawa pulang mayat rakyat Malaysia terbabit kembali ke tanah air.

Menurut laporan Reuters, yang memetik kenyataan jurucakap Ketua Polis Kabul, Hashmat Stanekzai, tukang masak Malaysia berusia 64 tahun itu keluar bersama dua lagi rakan sekerjanya warga India dan Macedonia, yang turut dilaporkan dibunuh, keluar bekerja menaiki sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang rakyat tempatan sebelum mereka dilaporkan diculik.

Pihak Polis Kabul mengesahkan menemui mayat ketiga-tiga mangsa yang berkerja di Syarikat Sodexo, sebuah syarikat penyediaan makanan dan katering kedua terbesar di dunia, dengan kesan cedera parah akibat diseksa.

Sementara itu usaha untuk mendapatkan pengesahan identiti mangsa daripada Syarikat Sodexo Malaysia, di Petaling Jaya, gagal selepas Bahagian Sumber Manusia dan Korporat syarikat berkenaan tidak berjawab – berita harian