NEW DELHI: Rakyat Malaysia dinasihatkan mengelak daripada mengunjungi Kerala, negeri di selatan India yang kini menyaksikan hampir 200 orang terkorban akibat hujan lebat dan banjir.

Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai berkata pihaknya sedang memantau keadaan semasa dengan teliti dan menasihatkan semua rakyat Malaysia di Kerala supaya berwaspada serta mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu.

“Rakyat Malaysia yang merancang untuk mengunjungi Kerala juga dinasihatkan menunda perjalanan yang tidak perlu sehingga keadaan cuaca bertambah baik,” menurut nasihat perjalanan oleh Konsulat Jeneral.

Lapangan Antarabangsa Cochin yang menjadi hab pengangkutan utama sudah menggantung operasinya sehingga 26 Ogos.

Pengangkutan kereta api dan jalan raya turut terjejas dan mereka yang terkandas di kawasan ditenggelami air berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan makanan serta barangan keperluan.

Banyak kawasan di Kerala dilanda hujan lebat dengan puluhan orang maut dilaporkan di daerah Thrissur, Idukki dan Malappuram.

Lebih 300,000 orang sudah dipindahkan ke kem bantuan dan beratus-ratus ribu mangsa yang lain di kawasan dilanda banjir perlu diselamatkan dengan segera.

Di beberapa tempat lain di selatan India, amaran banjir dikeluarkan oleh pihak berkuasa di daerah Theni dan Madurai di Tamil Nadu manakala penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai Cauvery dan Bhavani diminta berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Kira-kira 9,000 orang dipindahkan ke kem bantuan di kawasan Namakkal, Erode, Kanyakumari, Karur, Dharmapuri dan Tiruchirappalli di Tamil Nadu, menurut laporan media tempatan. – BERNAMA