PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia, Richard Lau Yi Lok, yang ditahan di Penjara Pusat Ras Al Khaimah (RAK), Emiriah Arab Bersatu (UAE), sejak April tahun lalu dibebaskan dengan ikat jamin kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan, semalam.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Yi Lok akan terus berada di UAE bagi mengikuti perbicaraan di mahkamah sehingga kesnya selesai.

“Pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai berada di RAK bagi membantu urusan pembebasan Yi Lok.

“Kerajaan Malaysia menghargai hubungan erat antara Malaysia dengan UAE dan ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan UAE terutama Kementerian Luar Negerinya, Pemerintah Ras Al Khaimah, Kementerian Perundangan UAE, Jabatan Perundangan RAK dan pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai atas pembebasan itu.

“Semangat persaudaraan dan kesepakatan yang ditunjukkan oleh Kerajaan UAE dalam membantu menyelesaikan masalah membabitkan warganegara Malaysia di UAE adalah hasil diplomasi di peringkat tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia sentiasa menitikberatkan kebajikan warga negaranya yang menghadapi masalah di luar negara.

“Kerajaan komited dalam memastikan setiap warga negara Malaysia mendapat bantuan konsular yang sewajarnya selaras dengan Konvensyen Vienna berkaitan Hubungan Konsular 1963 (VCCR 1963) dan peruntukan undang-undang tempatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Yi Lok seorang jurutera awam yang bekerja sebagai penyelaras projek untuk anak syarikat pengangkutan marin berpangkalan di Miri di Ras Al Khaimah lima tahun lalu.

Dia dilaporkan ditahan berdasarkan tuduhan oleh warga UAE, yang juga rakan kongsi anak syarikat itu, bahawa Yi Lok mencuri gaji dan komisyen – berita harian